Kereta terjunam selepas tembok penahan runtuh

SEBUAH kereta jenis Proton Saga yang diparkir di kawasan kejiranan di Lengkok Halia, Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini terjunam selepas sebahagian tembok penahan (retaining wall) di situ runtuh.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi itu.

Video kejadian itu turut tular dalam media sosial hari ini yang menunjukkan kereta tersebut yang diparkir tanpa pemandu terjunam bersama-sama runtuhan tembok penahan tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.

Bagaimanapun jelasnya, pihaknya semalam mendapati terdapat rekahan pada tembok penahan itu dan sudah mengarahkan pemilik yang meletakkan kereta mereka di kawasan berkenaan mengalihkan kenderaan mereka segera.

Ketika kejadian tambahnya, terdapat sebanyak enam buah kereta diparkir di lokasi kejadian, namun lima daripadanya telah dialihkan oleh pemilik kenderaan.

“Kawasan itu merupakan tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kita telah meminta mereka membaiki runtuhan tersebut.

“Ketika ini, kita menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu daripada JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *