”Jangan gadai prinsip sebagai anggota Paskal”- Sultan Selangor

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah warga Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya tidak sesekali mencemarkan maruah dan kehormatan pasukan.

Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM  bertitah lambang trimedia yang tersemat di dada anggota Paskal adalah lambang kehormatan, yang perlu dipertahankan.

“Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota Paskal dengan melibatkan diri kepada perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. Anda wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar Paskal,” titah baginda pada Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar) Ahmad Nazri Mohd Hasan.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan warga Paskal supaya tidak mengabaikan tuntutan agama dan sentiasa mengingati Tuhan, walau dalam apa jua keadaan sekali pun selain sentiasa berdoa sekiranya mengalami kesukaran terutamanya ketika bertugas.

“Doa akan memberikan kekuatan dan keberanian dan menghindar dari ketakutan. Insya-Allah,” titah baginda.

Baginda bertitah faktor keselamatan hendaklah dititikberatkan dan diuji berulang kali sebelum latihan dilaksanakan dan mahu semua warga pasukan komited, melaksanakan amanah dengan penuh taat setia dan bersemangat tinggi.

Titah baginda, hampir 39 tahun penubuhan, Paskal telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dalam melaksanakan misi-misi yang dipertanggungjawabkan, di dalam mahupun di luar negara dan berharap prestasi dan imej Paskal dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi.

“Jika diimbas kembali, penubuhan Paskal pada tahun 1982, pasukan ini telah berfungsi untuk mempertahankan Stesen Luar Pantai TLDM di Laut China Selatan, selain melaksanakan pelbagai operasi-operasi khas di laut, darat dan udara daripada pelbagai ancaman,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah sepanjang tempoh itu juga, Paskal telah berjaya melatih seramai 1,103 orang pegawai dan anggota Tentera Laut dari dalam dan luar negara, melalui pelbagai kursus-kursus khas yang dijalankan.

Titah baginda lagi, untuk melayakkan diri menjadi seorang anggota Paskal bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap pegawai dan anggota perlu melalui latihan-latihan yang keras dan memerlukan daya tahan yang luar biasa, malah pelbagai bentuk latihan berat perlu dihadapi bagi menguji ketahanan fizikal dan juga mental para pelatih.

Baginda turut mengingatkan semua warga Paskal supaya persiapkan diri dalam segala aspek kemahiran, fizikal dan mental, serta memastikan sentiasa mempunyai kemampuan diri untuk melaksanakan misi dan operasi khas yang diamanahkan oleh pihak tertinggi TLDM.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *