Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG wanita dicekup selepas dia didapati bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai baru berjinak-jinak dengan aktiviti haram terbabit.
Perbuatan wanita berusia 22 tahun itu terbongkar selepas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menyerbu rumah dua tingkat yang disewanya di Laguna, Merbok, Sungai Petani, Selasa lalu.
Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, polis berjaya menemui dan merampas sepuluh paket syabu seberat 1.05 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM37, 850 di rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dia berperanan sebagai pembantu untuk menyimpan bekalan dadah di rumah berkenaan.
“Kita percaya suspek mungkin menerima upah untuk melakukan kerja berkenaan dan siasatan turut menjurus sama ada dia juga terbabit mengedar dadah.
“Sindiket terbabit didalangi warga tempatan dan dipercayai baru beroperasi pertengahan tahun ini dengan hanya menjalankan aktiviti mengedar dadah sekitar bandar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah dan suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 6.30 petang pada hari sama, dua penagih tegar ditahan anggota unit Expressway Mobile Patrol Vehichles (EMPV) Bukit Aman zon utara dalam sekatan jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Gurun.
Adzli berkata, hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui heroin seberat 906.5 gram (g) yang dianggarkan bernilai RM12,000, syabu 0.6g, ganja (1g) serta alat penimbang dan membungkus dadah.
Menurutnya, dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun itu masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
“Ujian air kencing mendapati dua suspek terbabit positif morfin dan selain menghisap mereka turut mengedar dadah sekitar kawasan bandar ini.
“Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurutnya, polis akan sentiasa mempergiatkan usaha memburu dan menumpas kegiatan ahli sindiket ini bagi membanteras sehabis-habisan aktiviti haram terbabit.
Leave a Reply