SERAMAI 13 individu terdiri daripada empat lelaki dan sembilan wanita berusia antara 31 hingga 69 tahun ditahan polis ketika dipercayai sedang leka berjudi di sebuah kondominium mewah Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.
Kesemua mereka dipercayai penganjur dan pemain itu ditahan dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang menerusi Ops Dadu pukul 3.45 petang.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM13,200 serta beberapa peralatan bermain judi seperti sejumlah cip pelbagai warna, monitor komputer, daun terup, meja dan kerusi plastik.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, sindiket itu dipercayai menyewa kondominium mewah tersebut untuk dijadikan mini kasino sejak pertengahan bulan ini.
Tambahnya, mereka dipercayai menjalankan kegiatan perjudian sekitar pukul 12 tengah hari sehingga 8 malam setiap hari.
“Mereka juga dipercayai menawarkan aktiviti perjudian hanya kepada kenalan rapat bagi mengelak aktiviti dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai meraih keuntungan sehingga RM100,000 sepanjang tempoh beroperasi kira-kira dua minggu.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Leave a Reply