Selangor tidak dilibatkan secara langsung dalam Projek LRA Langat 2

PELAKSANAAN Projek LRA Langat 2 tidak melibatkan kerajaan Selangor secara langsung atau menyeluruh, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim.

Beliau menjelaskan, pengurusan projek berkenaan akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang merupakan anak syarikat kepada Kementerian Kewangan Malaysia.

“Kerajaan Selangor hanya terlibat dalam urusan berkaitan tapak tanah projek dan permit yang dikeluarkan oleh agensi teknikal negeri.

“Secara amnya, pengauditan oleh Jabatan Audit Negara adalah baik bagi menyedarkan semua pihak tentang pengurusan sesuatu projek terutama berskala mega.

“Kegagalan pengurusan projek boleh menyebabkan matlamat pelaksanaannya tidak dapat dicapai dengan sebaiknya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Izham berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 berhubung pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan projek LRA Langat 2 yang belum mencapai objektif disasarkan.

Mengulas lanjut, Izham berkata, dalam usaha menampung kekurangan air ekoran kelewatan projek berkenaan, kerajaan Selangor telah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya dengan pembinaan LRA Labohan Dagang.

“Selain itu, kerajaan negeri turut mendapatkan pinjaman daripada Kementerian Kewangan Malaysia bagi melaksanakan Projek Mitigasi 2 yang melibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 3,” katanya.

Pada masa sama, Izham berkata, kerajaan Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membangunkan Projek Skim Bekalan Air Rasau yang dijangka mampu mengeluarkan sebanyak 1,400 juta liter/hari (JLH) bagi kegunaan pengguna.

“Ini adalah sebagai langkah untuk memastikan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *