KERAJAAN membelanjakan RM314 juta untuk menguruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat 30 Ogos lalu.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba, perbelanjaan tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM1 bilion yang diperuntukkan bagi program imunisasi negara.
“Perbelanjaan tersebut meliputi kos pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV); pemantapan rangkaian integrasi data dan sistem proses pemberian vaksin; serta meningkatkan jumlah pendaftaran penerima vaksin di setiap kawasan Parlimen.
“Bagi kos pengoperasian, ia meliputi empat perkara iaitu perbelanjaan sewaan dan utiliti, perbelanjaan bagi pembersihan dan sanitasi, perbelanjaan bagi perkakasan dan alatan pakai habis serta perbelanjaan kebajikan petugas PPV.
“Kerajaan telah mempertimbangkan dua perkara penting iaitu saguhati sukarelawan dan anggota keselamatan yang bertugas serta perbelanjaan makan dan minum petugas,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan lebih terperinci kos program vaksinasi yang telah dijalankan.
Leave a Reply