SKIM Perlindungan Masyarakat (mySalam) yang diperkenalkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dikesan mempunyai beberapa kelemahan dari segi urusan tadbir urus akaun amanah persendirian.
Teguran itu dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 Aktiviti Kementerian Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
“Secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan dapat dirumuskan bahawa skim mySalam telah memberikan perlindungan takaful/ gantian pendapatan kepada golongan B40 terhadap penyakit kritikal tertentu dan akibat kemasukan ke wad hospital.
“Bagaimanapun, tadbir urus akaun amanah persendirian tidak memperuntukkan kawalan dalaman yang mencukupi dan mekanisme semak dan imbang yang jelas bagi menjamin akauntabiliti dan ketelusan pelaporan,” jelas laporan itu.
Menurut laporan berkenaan, kelemahan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:
- Klausa semasa di bawah Arahan Amanah mySalam adalah tidak lengkap dan tidak mencukupi iaitu tidak menyatakan dengan jelas mengenai peranan MoF dan keperluan pelaporan kepada Jemaah Menteri, Parlimen serta pihak berkepentingan;
- Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memperincikan mengenai bidang dan had kuasa Lembaga Pemegang Amanah (LPA) juga tidak diwujudkan;
- Peluasan skim mySalam dilaksanakan tanpa meminda Arahan Amanah mySalam;
- Pelantikan pengendali takaful mySalam tidak dibuka kepada syarikat insurans tempatan lain menyebabkannya tidak mendapat peluang manfaat ekonomi daripada pelaksanaan skim mySalam; dan
- Pengaturan takaful semula yang melibatkan kos yang tinggi adalah tidak munasabah kerana tidak dijalankan kajian menyeluruh.
Untuk rekod, skim tersebut mula diperkenalkan pada 2 November 2018 semasa ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.
MySalam merupakan skim insurans takaful yang memberikan penggantian separa pendapatan terhadap penyakit kritikal tertentu dan akibat kemasukan ke wad hospital.
Penerima yang layak mendapat manfaat daripada skim ini adalah 4.3 juta individu B40 dan pasangan mereka yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
Syarat lain yang ditetapkan adalah warganegara yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun.
Sumber dana skim berkenaan adalah daripada sumbangan RM2.37 bilion oleh syarikat bernombor pendaftaran 199903008M di mana sumbangan dana tersebut merupakan penyelesaian pilihan alternatif oleh syarikat insurans asing yang perlu melupuskan 30 peratus daripada pegangan saham asing kepada pelabur tempatan.
Sehingga akhir tahun 2020, terdapat tujuh syarikat insurans asing yang perlu melupuskan 30 peratus pegangan saham asing.
Skim itu dilaksanakan bagi tempoh lima tahun bermula pada tahun 2019 hingga 2023.
Syarikat 916257-H yang merupakan anak syarikat kepada syarikat 199903008M dilantik sebagai pengendali takaful awal bagi skim mySalam.
Laporan berkenaan turut mengesyorkan tindakan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan mengelak berulangnya perkara yang sama pada masa akan datang.
“Kementerian Kewangan/ LPA mengambil langkah untuk mengakaunkan dana mySalam yang berjumlah RM2.370 bilion ke dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan dan menubuhkan Akaun Amanah Kerajaan (Seksyen 9, Akta 61) bagi mengendalikan dana tersebut.
“Kementerian Kewangan bertindak untuk memperkemaskan klausa Akaun Amanah mySalam bagi memastikan wujud tadbir urus, akauntabiliti dan pemantauan yang jelas dalam pengurusan dana mySalam.
“Selain itu, mengadakan SOP dengan memperincikan bidang dan had kuasa LPA yang dinyatakan dalam Arahan Amanah akan memperkemaskan tadbir urus mySalam,” jelasnya.
Leave a Reply