Oleh RAHIMI MOHAMAD
PINTU masuk antarabangsa Malaysia-Singapura di Johor, dilihat sesuai untuk dibuka semula apabila negeri itu memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menzahirkan pandangan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, kerajaan perlu memulakan rundingan dengan Singapura berhubung perkara itu kerana tempoh tersebut dianggap waktu terbaik.
Menurutnya, Johor yang beralih ke Fasa 2 Jumaat lalu sudah bersedia untuk pembukaan sempadan dan sekiranya semua garis panduan dipenuhi, perkara itu akan menjadi asas kukuh untuk membuka sempadan sepenuhnya.
“Ini ditambah dengan penyertaan kerajaan negeri secara langsung dalam jawatankuasa teknikal yang membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura, segala data yang diperoleh kerajaan Johor akan dapat membantu.
“Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh membuat penilaian risiko pembukaan sempadan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Amal di Permas Jaya, Pasir Gudang, hari ini.
Che Zakaria berkata, Singapura dan Malaysia terutama Johor mempunyai kepentingan untuk pembukaan sempadan itu kerana banyak pelaburan republik itu berada di negeri ini sementara ramai rakyat Johor bekerja, bersekolah dan menetap di Singapura.
Sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan antara laluan darat antarabangsa paling sibuk telah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.
Baru-baru ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, negeri itu akan terlibat secara langsung dalam jawatankuasa teknikal bagi membincangkan pembukaan sempadan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperlukan berhubung pergerakan rentas sempadan.
Kerajaan negeri sebelum itu mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bagi pembukaan semula sempadan negeri itu dengan Singapura selepas dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor.
Antara perkara yang dipersetujui untuk dicadangkan dalam SOP pembukaan sempadan itu adalah untuk menguatkuasakan Pengaturan Perjalanan Harian (DCA) bagi membolehkan rakyat berulang-alik dengan lebih mudah.
Mengikut pengumuman pada awal November tahun lalu, inisiatif DCA iaitu skim rentas sempadan ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dicadangkan kepada kerajaan Pusat.
Melalui skim itu, DCA akan mewujudkan gelembung perjalanan yang kebenarannya akan dibuat pada setiap 10 hari selepas permohonan diterima dengan rakyat dari kedua-dua negara dapat berulang-alik merentasi sempadan pada setiap hari sama ada untuk pekerjaan atau tujuan pendidikan.
Namun, inisiatif itu terpaksa ditangguhkan ekoran kes positif Covid-19 di negara ini yang kembali mencanak tidak lama kemudian.
Malah, pada 1 Februari lalu, Singapura turut menggantung RGL dengan tiga negara termasuk Malaysia selepas kerajaan republik itu menyatakan perlu memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadan bagi menangani risiko kes import Covid-19.
Leave a Reply