SEMBILAN peruncit ditahan bersama 6,345 kilogram (kg) beras Siam pelbagai jenama bernilai RM25,380 dalam serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di 10 kedai runcit di sekitar Pasar Besar Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan pagi semalam.
Penahanan itu dibuat dalam operasi khas bermula pukul 6.30 pagi sehingga 8 pagi.
Menurut Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi, sembilan peruncit tersebut merupakan warga tempatan, iaitu empat lelaki dan lima perempuan berusia antara 43 hingga 69 tahun.
Katanya, mereka merupakan peniaga yang menjalankan perniagaan di sekitar Pasar Besar Wakaf Bharu.
“Mereka ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti penjualan beras Siam yang diseludup daripada negara Thailand,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Azhari, berdasarkan hasil risikan maklumat dan pemerhatian, kesemua bekalan beras itu dihantar oleh individu yang diupah (runner) bagi mengangkut beras seludup itu dari sempadan Malaysia-Thailand kepada peniaga-peniaga terbabit.
Beliau berkata, difahamkan runner tersebut diberikan upah antara RM20 hingga RM30 bagi setiap trip penghantaran bekalan beras ke destinasi ditetapkan.
Selain itu katanya, kenderaan yang digunakan bagi aktiviti penyeludupan beras adalah membabitkan kereta dan motosikal di mana bekalan beras dihantar dalam skala kecil ke lokasi ditetapkan setelah diseludup di sempadan,” jelas beliau.
Azhari memberitahu, kesemua bekalan beras diperoleh dari beberapa pangkalan haram di sekitar kawasan Pengkalan Kubor.
Menurut beliau, operasi khas itu dibuat selepas seminggu risikan dan pemerhatian ke atas aktiviti penyeludupan tersebut.
Menurut beliau, operasi itu melibatkan empat pegawai dan 25 anggota.
Katanya, barangan kes akan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
Leave a Reply