Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
WANITA yang mendakwa dirinya Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, 39, mengumumkan pengisytiharan taubat (Istitabah) secara terbuka hari ini.
Sittah atau nama sebenarnya Masitah Ab. Jalar melakukan pengisytiharan itu di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Beliau melafazkan taubat itu dan menandatangani dokumen pengisytiharan taubat di hadapan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.
“Bahawasanya saya bertaubat dengan taubat dengan sebenar-benar taubat dan menyesal dengan perbuatan saya. Tiada mana-mana paksaan (lafaz taubat) melainkan dengan kesedaran diri sendiri,” antara lafaz taubat Masitah.
Masitah turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut dan mengakui semua perbuatan yang menyalahi hukum agama Islam dan yang melanggar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sementara itu Mohd Shahzihan berkata, Majlis Pengisytiharan Taubat itu diatur atas persetujuan wanita itu tanpa paksaan demi memberitahu kepada umum, khususnya kepada individu atau pihak yang percaya dan berpegang kepada pernyataan mimpinya untuk turut bersama-sama mengakui kekhilafan yang dilakukan, bertaubat serta kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang benar.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah suami serta anak-anak Masitah.
Leave a Reply