Sultan Kedah lancar Pelan Strategik MAIK

Oleh RIZQI ZABIDI

SULTAN Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini melancarkan Pelan Strategik Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) 2021-2025 yang akan menentukan hala tuju badan agama itu untuk bergerak seiring dengan arus pemodenan.

Pelan strategik tersebut adalah hasil cetusan ilham Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

Tengku Sarafudin bertitah, baginda telah menyampaikan hasrat untuk menggubal pelan strategik itu sejak Januari 2020 namun proses penyediaannya tergangu disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara hingga menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun pelan ini baru saja diluluskan, gerak kerja di peringkat semua Ketua-Ketua Bahagian MAIK telah dilaksanakan bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan untuk 2021.

“Penghasilan Pelan Strategik MAIK ini adalah amat penting dan perlu bagi memastikan perancangan kita untuk tempoh lima tahun akan datang,” titah baginda.

Sultan Kedah lancar Pelan Strategik MAIK secara maya hari ini

Baginda bertitah, terdapat lima teras digariskan dalam pelan strategik tersebut dengan yang pertama adalah meningkatkan kualiti tadbir urus pengurusan dan kedua, memantapkan peranan Baitulmal sebagai penggerak sosial dan ekonomi Islam.

“Ketiga, memperkasakan wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi sosial umat Islam, keempat memperkukuhkan penggunaan teknologi dan komunikai terkini serta yang kelima, memperkasa penguatkuasaan undang-undang hal ehwal agama Islam dan membudayakan penyelidikan bagi kesejahteraan ummah,” titah baginda.

Baginda menambah, komitmen, kesepakatan dan kerjasama erat dalam kalangan semua kakitangan amat perlu bagi mencapai sasaran KPI ditetapkan.

“Walaubagaimanapun apa yang lebih utama dan penting adalah setiap perancangan digariskan untuk dicapai, pada akhirnya perlu mendatangkan faedah buat masyarakat Islam.

“Untuk memastikan aspirasi yang terkandung dalam pelan ini tercapai, semua warga kerja MAIK perlu komited untuk meningkatkan cara kerja dengan mementingkan kreativiti dan inovasi, selaras dengan perkembangan semasa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *