Scammer perangkap sebelum ugut, khianat mangsa

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MEMBUAT tawaran pinjaman wang secara pantas menerusi media sosial terutama menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura sebelum menjerat mereka apabila tidak mampu membayar hutang.

Apabila setuju untuk meminjam, mangsa disuruh membuat sedikit pembayaran terlebih dahulu sebelum wang yang mahu dipinjam dijanjikan akan dimasukkan ke dalam akaun peminjam.

Itu modus operandi scammer yang menjalankan kegiatan tersebut dan selepas terperangkap, mangsa akan diugut dengan perbuatan khianat termasuk membaling caat ke rumah mereka.

Pendedahan itu dilakukan Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon dan menyifatkan mereka yang menawarkan bantuan kewangan sedemikian adalah ‘scammer’.

Pekarangan rumah dibaling cat merah selepas pemiliknya menjadi mangsa sindiket ‘scammer’ dan enggan mengikut arahan

“Semalam saya terima aduan daripada seorang pengadu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang mengatakan dia meminjam wang sebanyak SDG30,000 dengan memberikannya butiran kediaman di negeri ini.

“Selepas membuat permohonan itu dan perlu membayar wang sebanyak SGD7,500 (RM22,500) dia masih gagal mendapatkan wang yang mahu dipinjamnya.

“Sebaliknya dia diugut ‘scammer’ untuk memasukkan lagi wang ke dalam akaun pihak berkenaan atau tidak mereka akan bertindak membaling cat di kediaman mangsa,” katanya kepada pemberita di Kulai, hari ini.

Jian Boon memberitahu, ekoran itu kediaman mangsa di sini yang dihuni ibu mangsa berusia 62 telah dibaling cat.

“Selain itu turut ditinggalkan satu nota memaklumkan sekiranya mangsa tidak terus membuat pembayaran, mereka akan membaling bom petrol pula selepas ini.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat mangsa secara serentak kepada polis di Malaysia dan Singapura,” ujarnya.

Nota ugutan yang ditinggalkan ‘scammer’ yang menipu mangsa setelah terdesak memerlukan pinjaman wang secara atas talian

Tambah Jian Boon, tindakan ‘scammer’ yang menipu mangsa dan melakukan ugutan secara terbuka seperti itu merupakan satu tindakan yang mencabar kedaulatan undang-undang negara ini.

“Oleh itu, saya berharap polis Johor akan dapat mengambil tindakan segera berhubung jenayah penipuan ini yang mana saya percaya jika dibiarkan lebih ramai pihak akan menjadi mangsa.

“Kepada masyarakat, saya nasihatkan jangan membuat pinjaman wang dengan mana-mana pihak yang ditemui di media sosial kerana dibimbangi akan menjadi mangsa sindiket ‘scammer’,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *