RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik seluruh sistem pendidikan negara serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.
Antara langkah utama yang akan dilaksana bagi menambah baik sistem pendidikan negara termasuk memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk Revolusi Industri 4.0 (4IR).
“Persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2021 dan 2022; dan sebanyak empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu akan dibina melibatkan kos RM848 juta.
“Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET. Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET akan dibangunkan,” katanya semasa membentangkan RMK-12 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai pendidikan tinggi, Ismail Sabri berkata sistem yang lebih fleksibel akan diwujudkan selain meningkatkan kerjasama dengan industri bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri.
Katanya naik taraf kemudahan beberapa universiti awam akan dilaksanakan, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
RMK-12 juga akan memperkenalkan pelan pendidikan digital di peringkat sekolah dan pengajian tinggi bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti.
Sementara itu perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif seperti menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi.
Inisiatif lain termasuk menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi; mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah; dan memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.
“Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. Selain itu Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply