sabah sarawak

RMK-12: 6 sasaran terpilih mantap infrastruktur Sabah, Sarawak

RMK12

RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK-12) menetapkan enam sasaran terpilih bagi memantapkan penyediaan infrastruktur di Sabah dan Sarawak kerana ia memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi di kedua-dua negeri.

Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, bagi tempoh 2021-2025, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan liputan akses kepada air bersih dan selamat sebanyak 98 peratus di kedua-dua negeri .

“Antaranya membina infrastruktur baharu bagi perkhidmatan air seperti empangan, takungan air pinggiran sungai, loji rawatan air dan loji rawatan kumbahan manakala infrastruktur sedia ada akan dinaik taraf.

“Bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), peruntukan akan disediakan di bawah Program Pengurangan NRW di kedua-dua negeri,” menurut dokumen itu.

Selain itu, kerajaan juga menyasarkan untuk membina dan menaik taraf jalan luar bandar berturap sebanyak 700 kilometer di kedua-dua negeri.

Turut diberi perhatian adalah liputan jalur lebar yang akan ditingkatkan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam usaha menyediakan peluang digital yang saksama kepada penduduk, dan bagi tujuan itu 382 tapak infrastruktur digital baharu akan dibina di Sabah, manakala 636 lagi di Sarawak sepanjang RMK-12.

Dokumen itu juga menyatakan, capaian jalur lebar di sekolah dan kawasan sekitar juga akan ditambah baik dengan penyediaannya di kawasan bandar diterajui oleh pihak industri, manakala kerajaan memberi tumpuan di kawasan luar bandar.

Di bawah RMK-12, sebanyak 781 points of presence (PoP) disediakan di Sabah dan 643 di Sarawak bagi membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan bangunan komersial berdekatan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar, seterusnya mengalakkan aktiviti dalam talian di kawasan luar bandar.

Bagi menambah baik sistem bekalan elektrik di kedua-dua negeri, kerajaan antaranya akan membina loji jana kuasa baharu dan menaik taraf talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah, selain memulakan kerja awalan projek talian penghantaran Southern Link sepanjang RMK-12.

Menurut dokumen itu, Sarawak akan membina satu lagi talian penghantaran 500 KiloVolt (kV) sebagai talian penghantaran utama yang kedua di samping membina Grid Utara untuk meningkatkan Sistem Grid Negeri meliputi seluruh negeri.

“Pelaksanaan projek ini membolehkan tenaga elektrik dibekalkan ke Sabah dan dieksport ke Kalimantan pada masa hadapan,” demikian menurut dokumen itu yang turut menyasarkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem kepada 150 minit bagi Sabah dan 60 minit untuk Sarawak.

Kerajaan juga akan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam dan logistik termasuk pelabuhan dan lapangan terbang bagi melancarkan pergerakan pengguna serta barangan yang seterusnya dapat membantu menarik lebih banyak pelaburan. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *