TADBIR urus keselamatan negara akan diperkukuh dengan menambah baik fungsi dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju yang menyelaras dasar berkaitan keselamatan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, penyelarasan pelbagai jawatankuasa di bawah MKN akan ditambah baik bagi memastikan arahan dan langkah berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dilaksana dengan lebih berkesan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.
RMK-12 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut dokumen berkenaan penyelarasan itu akan memberi tumpuan kepada isu keselamatan termasuk siber, jenayah rentas sempadan, wabak penyakit, bencana alam serta krisis ekonomi dan sosial.
“Di samping itu, Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) akan diperkukuhkan melalui penyelarasan yang lebih baik antara pihak berkepentingan yang berkaitan serta menghubungkan semua sistem pengurusan keselamatan, pertahanan dan bencana.
“Ini akan membolehkan pengumpulan maklumat dengan lebih pantas dan mempercepat proses membuat keputusan serta penyelarasan yang lebih baik dalam kalangan agensi untuk menangani ancaman dan krisis,” menurut dokumen itu.
Menurut dokumen itu, undang-undang berkaitan jenayah merangkumi Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas ) 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan Kanun Keseksaan 1957, selain menyemak semula Akta Hasutan 1948 serta Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 untuk memastikan kesesuaian dan keberkesanannya meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Sementara itu, langkah pencegahan rasuah akan diperkukuh meliputi semua agensi penguatkuasaan dan Angkatan Tentera Malaysia termasuk pelaksanaan piawaian Sistem Pengurusan Antirasuah yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional secara mandatori.
“Bagi mengurangkan risiko rasuah, semua agensi penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri dikehendaki melaksana Sistem Peprofilan Pengambilan bagi jawatan berisiko tinggi dan sensitif selain pusingan kerja juga akan dilaksana secara mandatori,” menurut dokumen itu.
Untuk menambah baik penyelarasan dan kerjasama, dokumen itu menyatakan majlis perundingan keselamatan dan ketenteraman awam akan ditubuhkan untuk menyelaras usaha menangani ancaman keselamatan dan sebagai platform perkongsian pengetahuan dalam kalangan pakar keselamatan.
Bagi menangani jenayah rentas sempadan, usaha bersepadu akan dilaksanakan untuk menyatukan pelbagai mandat dan kuasa ATM serta semua agensi penguatkuasaan berkaitan kawalan sempadan termasuk di semua pintu masuk.
“Dalam tempoh lima tahun ini, dasar identiti digital nasional akan diperkenal bagi membolehkan pergerakan data yang dipercayai, selamat dan telus selain memastikan semua sistem yang berkaitan dengan pendaftaran penduduk diintegrasi bagi membolehkan perkongsian data dalam kalangan agensi berkaitan,” menurut dokumen itu. – BERNAMA
Leave a Reply