MESYUARAT Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini meluluskan kertas cadangan daripada Sekretariat MPN untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Pemulihan Negeri berperanan untuk memastikan keputusan MPN dilaksanakan di peringkat negeri, memperaku strategi dan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah, dan memantau impak pelaksanaan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah.
“Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah sedia ada akan bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan dan pemantauan inisiatif pemulihan negara di peringkat daerah.
“Cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri dan mekanisme yang berkaitan akan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan,” katanya dalam kenyataan media yang diedarkan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut buat kali pertama, hari ini.
Beliau menambah, melangkah kehadapan, MPN akan menumpukan kepada pemulihan negara secara menyeluruh melibatkan pelbagai sektor dan kumpulan terkesan, antaranya seperti:
i. Sektor-sektor yang perlu diberikan keutamaan dalam proses pemulihan, terutamanya aktiviti ekonomi yang paling memberikan sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sektor yang paling banyak menyediakan pekerjaan dan sektor yang paling terjejas akibat penularan COVID-19;
ii. Bantuan yang boleh disediakan kepada perniagaan, usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bangkit dan meneruskan perniagaan;
iii. Masalah kemiskinan pasca pandemik dalam kalangan penduduk bandar dan luar bandar; dan
iv. Kumpulan rentan dan bentuk bantuan yang boleh disediakan.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin memberitahu, mesyuarat MPN hari ini memberikan fokus kepada persiapan bagi pembukaan semula sektor pelajaran di mana Majlis telah diberi penerangan yang terperinci berkaitan Laporan Status Terkini Berkaitan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan.
Menurut beliau, penerangan turut diberikan tentang Pelan Pembukaan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Tinggi Sesi Akademik 2021/2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Laporan Penilaian Pembukaan Sekolah oleh Kementerian Pendidikan.
“Saya berpuas hati dengan pembentangan oleh Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini kes-kes Covid-19 dan kadar penggunaan katil wad ICU yang telah menunjukkan penurunan.
“Begitu juga dengan ketersediaan vaksin yang mencukupi untuk tujuan suntikan dos penggalak bagi semua penduduk dewasa di negara ini hasil daripada keputusan yang telah dibuat sebelum ini untuk menempah sejumlah vaksin yang lebih daripada mencukupi bagi keperluan penduduk negara kita,” jelasnya.
Muhyiddin berkata, mesyuarat pada hari ini mengambil maklum mengenai pembukaan institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat bermula pada 15 Oktober 2021 dan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Oktober 2021 serta prosedur operasi standardd (SOP) yang akan berkuat kuasa demi melindungi warga IPT dan warga sekolah dari jangkitan COVID-19.
Leave a Reply