Mayat tanpa identiti ditemukan terapung

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

MAYAT seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung oleh nelayan pantai di kedudukan 2.03 kilometer dari selatan Pasir Blanda, Teluk Kumbar, Pulau Pinang pukul 4.10 petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Maritim Malaysia yang menerima aduan mengenai penemuan mayat itu menggerakkan bot ronda KILAT 26 ke lokasi kejadian.

Jelasnya, mayat tersebut dipercayai seorang lelaki lengkap berseluar panjang sukan hitam serta berbaju hitam namun tiada sebarang identiti diri ditemui.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada Balai Polis Batu Maung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat lengkap berseluar panjang sukan hitam serta berbaju hitam namun tiada sebarang identiti diri ditemui

Menurutnya, setakat ini Maritim Malaysia Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil membuat aduan di balai polis yang berdekatan.

“Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan jika keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *