SELEPAS Kementerian Sumber Manusia (KSM) memutuskan tiada kemasukan pekerja asing bagi mengutamakan pekerja tempatan, rakyat Malaysia rata-rata didapati tidak berminat dengan pekerjaan yang ditawarkan oleh industri pertanian, perladangan dan sektor pembersihan.
Menteri berkenaan, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau akan membawa permintaan pihak industri berkenaan untuk mengambil pekerja asing kepada Kabinet untuk diteliti dan dipertimbang supaya mendapat satu penyelesaian terbaik berkaitan masalah itu.
“Memang pelan asal kerajaan, peluang ini untuk pekerja tempatan…(tetapi) orang tempatan sudah tidak ambil pekerjaan khususnya dalam 3D (Dirty, Dangerous, Difficult – kotor, bahaya dan sukar) itu. Masalah mereka (pihak industri) hadapi hari ini adalah setelah pekerjaan ditawarkan kepada pekerja tempatan, masih tidak ada yang nak ambil pekerjaan-pekerjaan itu.
“Sekarang kita berada dalam keadaan sama ada kita bagi mereka (mengambil pekerja asing) ataupun (pihak industri terpaksa) gulung tikar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Keperluan Penggajian Pekerja Asing di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) hari ini.
Pada 19 September lepas, kerajaan memutuskan bahawa tiada kemasukan bagi pekerja asing ke negara ini termasuk pembantu rumah asing dari negara-negara sumber hingga 31 Disember 2021.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata, MTUC berpandangan bahawa kerajaan perlu mengutamakan pekerja tempatan serta meminta dasar tidak membenarkan kemasukan pekerja asing itu diteruskan.
Bagaimanapun, beliau akui kebanyakan industri seperti perladangan dan restoran terjejas serta berpendapat bahawa, mana-mana pekerjaan yang memerlukan pekerja asing seperti kerja-kerja buruh kasar akan dialu-alukan.
“Tapi kita tekankan kepada menteri, tentang pengambilan pekerja asing ini perlu dibuat secara telus dan G2G (antara kerajaan dengan kerajaan), jangan biarkan kepada pihak ketiga untuk mengambil pekerja asing.
“Ada (industri) yang memohon (kemasukan pekerja asing) hingga 26,000, 43,000 pekerja asing, jadi bila kita duduk semeja dengan pihak industri ini baru kita tahu kekurangan tersebut,” katanya. – Bernama
Leave a Reply