
PEMBERIAN insentif kepada pengeluar tempatan bagi penghasilan kenderaan mesra alam dan pembelian kenderaan itu oleh pengguna akan dikaji semula.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, usaha itu merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan mobiliti mesra alam, ke arah mecapai status Negara Rendah Karbon.
Dalam usaha memacu peralihan ke arah itu, penggunaan kenderaan mesra alam yang mengurangkan pencemaran udara dan pelepasan gas rumah hijau (GHG) serta meningkatkan kecekapan tenaga akan digalakkan.
Dokumen itu menyatakan bahawa sektor swasta akan turut digalakkan melabur dalam memajukan pembangunan kenderaan generasi masa hadapan dan meningkatkan teknologi serta infrastruktur sokongan seperti kenderaan cekap tenaga, kenderaan elektrik dan berkuasa hidrogen serta stesen pengecas.
Berhubung perkara ini, kerjasama konsep “triple-helix”, iaitu kerjasama antara akademia, industri dan kerajaan akan dipergiat manakala skim insentif berkaitan industri teknologi hijau akan dipertingkat.
Skim ini termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS), Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE).
“Di samping itu, sektor swasta akan digalakkan memperoleh pelabelan hijau yang diiktiraf bagi teknologi dan kenderaan generasi masa hadapan,” menurut dokumen (RMK-12) itu.
Ekosistem yang menyokong mobiliti hijau dari segi dasar dan perundangan, standard, insentif serta amalan terbaik akan diperkukuh untuk memudah cara inisiatif yang dipacu pihak swasta.
Selain itu, program pemanduan cekap tenaga, iaitu latihan mengintegrasikan teknik pemanduan cekap tenaga sebagai syarat memohon lesen dan permit memandu untuk semua kelas kenderaan akan dijadikan mandatori.
Kerajaan akan turut menggalakkan penggunaan standard bahan api yang ekonomi bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api untuk kenderaan baharu.
Di bawah inisiatif sama, program biodiesel B20 yang mengandungi 20 peratus metil ester sawit akan diperluas secara berperingkat ke seluruh negara, manakala program B30 akan diperkenal pada penghujung RMK-12 bagi meningkatkan lagi penggunaan bio bahan api.
“Sumber bahan api alternatif, termasuk gas asli mampat, tenaga hidrogen dan sel bahan api juga akan diperluas,” menurut dokumen itu.
Sementara itu dalam usaha menggalakkan mobiliti aktif dan mobiliti mesra alam, infrastruktur pejalan kaki dan basikal akan dipertingkat supaya lebih mesra pengguna, bersambung, selamat dan selesa.
Usaha ini termasuk langkah memperlahan pergerakan lalu lintas dan teduhan semula jadi untuk laluan pejalan kaki.
“Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif mobiliti mesra alam, pelan induk dan garis panduan reka bentuk bagi mobiliti mesra alam di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan akan dibangunkan, di samping perundangan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri akan dikaji semula,” menurut dokumen itu. – BERNAMA
Leave a Reply