18 gelandangan di hentian bas Terengganu divaksin

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

KERAJAAN Terengganu meneruskan program vaksinasi rakyat dengan menumpukan pula kepada golongan gelandangan khususnya yang berada di Hentian Bas Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Menerusi program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diadakan di hentian bas itu malam tadi seramai 18 orang gelandangan mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Terengganu, Ahmad Shah Muhamed, program malam tadi sebagai permulaan ke atas golongan tersebut di mana mereka menerima suntikan vaksin dos tunggal jenis CanSino.

Beliau memberitahu, meskipun gelandangan tidak ramai di Terengganu, tetapi golongan berkenaan tidak dipinggirkan.

18 gelandangan mendapat suntikan vaksin Covid-19 di Hentian Bas MBKT malam tadi

Malah katanya, sambutan diterima menggalakkan di mana 18 telah menerima suntikan sedangkan sasaran awal hanya 14 orang.

“Namun, ada juga yang melarikan diri kerana berkemungkinan mereka fikir akan ditangkap.

“Apapun, jumlah suntikan melebihi sasaran ini membuktikan mereka memberi kerjasama sangat baik dan kita akan teruskan lagi program ini untuk memastikan semua gelandangan dapat divaksin,” ujarnya.

Ahmad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar memberitahu demikian selepas meninjau program vaksinasi gelandangan di Hentian Bas MBKT malam tadi.

Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis dan Persatuan Sosial Komuniti Terengganu serta

turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor.

Menurut Ahmad Shah, dianggarkan terdapat lebih 50 gelandangan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu namun jumlahnya tidak statik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *