SUNTIKAN penggalak bagi vaksin COVID-19 akan mula diberikan pada bulan depan kepada penduduk Sarawak yang sudah menerima dua dos suntikan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dengan ini Sarawak akan menjadi negeri terawal yang akan diberi suntikan penggalak kepada penduduknya.
Pada peringkat awal kata beliau, dos penggalak itu akan diberikan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi yang serius.
“Kita dapati golongan ini yang mengalami gejala-gejala serius yang memerlukan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kemungkinan meninggal dunia.
“Kita akan mulakan Oktober ini sebaik sahaja garis panduan klinikal untuk dos penggalak siap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani.
Semalam Sarawak merupakan antara negeri terawal yang bakal melengkapkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) apabila 89.3 peratus daripada populasi dewasanya telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.
Bagaimanapun Khairy tidak menolak kemungkinan dos penggalak itu akan diberikan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat di masa akan datang.
“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat boleh nanti diberikan dos penggalak tetapi fokus kita pada ketika ini adalah golongan berisiko tinggi yang lebih cenderung dimasukkan ke ICU dan meninggal,” katanya.
Beliau menjelaskan, di negara-negara lain juga mengamalkan perkara yang sama iaitu dos penggalak diberikan kepada warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi yang serius.
Khairy berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat sendiri meluluskan suntikan dos penggalak kepada individu yang berusia 65 tahun ke atas.
“Kita gunakan sumber yang ada pada ketika ini kepada mereka yang benar-benar memerlukan dulu berbanding individu lain,” katanya.
Leave a Reply