Misteri kehilangan warga emas kontak kes Covid-19 terjawab

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MISTERI kehilangan seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah terjawab apabila dia yang merupakan kontak rapat kes positif Covid-19, ditemukan lemas dalam parit di Parit Bentong, Jalan Parit Jalil, Tongkang Pechah, Batu Pahat, hari ini.

Kehilangan Jamyah Abd. Alim, 73, yang tahun merupakan kontak rapat kes Covid-19 iaitu Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) disedari ahli keluarga selepas mangsa tidak balik ke rumah sejak malam tadi.

Susulan itu keluarga mangsa memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis sebelum meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram.

Menurut Komander Operasi dari BBP Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.54 pagi.

Anggota bomba lengkap berpakaian perlindungan diri mengangkat warga emas tersebut ke darat

“Seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti Hilux dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pihak bomba membantu mengeluarkan warga emas tersebut dari dalam parit selepas orang ramai yang membantu mencarinya menemui mayat mangsa dalam parit sedalam 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota bomba kemudian dimaklumkan mangsa merupakan PUS sebelum mengangkat mayat warga emas itu dalam tempoh 5 minit dengan memakai pakai perlindungan diri.

Tambah beliau, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.39 tengah hari.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *