Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEMETERIAN Pendidikan (KPM) tidak menolak kemungkinan akan menukar guru yang enggan divaksin ke negeri lain.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, ketika ini beberapa ketetapan telah dibuat terhadap golongan itu seperti tidak dibenarkan mengajar bersemuka dan ada tugasan lain
.
“Bagaimanapun, apabila melihat data ini kita dapati ada sekolah tertentu yang ada guru enggan divaksin mengajar subjek sama dan ada juga satu-satunya guru mata pelajaran berkaitan juga enggan menerima vaksinasi.
“Jadi, sekiranya perkara ini menjejaskan sekolah dan demi kepentingan perkhidmatan dan pelajar, kita sedang melihat bagaimana untuk membawa keluar guru terbabit dan antara jalan penyelesaian adalah dengan pertukaran tempat mengajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di Kolej Vokasional Langkawi, Langkawi, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, pertukaran tempat mengajar termasuklah melibatkan perpindahan antara negeri berkemungkinan terpaksa diambil bagi menyelesaikan masalah ini dalam memastikan ia tidak menjejaskan sesi pembelajaran.
“Berkaitan tindakan lanjut, kita sedang menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tentang bentuk tindakan bersesuaian yang akan diambil terhadap atas guru-guru ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, bilangan guru yang enggan divaksin di seluruh negara menunjukkan penurunan selepas menerima nasihat dan kaunseling.
“Daripada 2,500 yang enggan menerima vaksinasi, bilangannya kini menurun kepada lebih kurang 2,000 guru sahaja,” jelasnya.
Ketika diminta mengulas berhubung vaksinasi remaja, Mohd. Radzi memberitahu pihaknya mendapati ibu bapa bersemangat menghantar anak-anak mereka untuk menerima vaksinasi dan tahap penerimaannya juga cukup baik.
Terdahulu, Dr. Mohd. Radzi memuat naik dalam Facebook miliknya hari ini memberitahu, beliau hadir dalam tiga sesi libat urus pengoperasian sekolah bersama-sama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), guru sekolah rendah dan menengah serta guru besar dan pengetua dari 29 sekolah seluruh Pulau Langkawi.
“Dalam sesi libat urus tadi, saya memperjelas dan memperincikan lagi perkara berkaitan pengoperasian sekolah dan hal-hal berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut KPM.
“Pengoperasian sekolah di pulau legenda ini dilaksanakan mengikut ketetapan negeri dalam Fasa 4 PPN memandangkan Langkawi merupakan kawasan gelembung pelancongan,” katanya.
Leave a Reply