‘Cadangan had usia memandu perlu kajian menyeluruh’ – MIROS

SATU gerak kerja di peringkat nasional, perlu dimulakan membabitkan isu pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas supaya ia dapat dilihat secara kolektif dan inklusif.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Khairil Anwar Abu Kassim, berkata ia perlu dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh untuk merangka pelan penambahbaikan yang berkesan dan mapan dapat dicapai.

“MIROS juga ingin menekankan keperluan tanggungjawab untuk semua pemandu menjaga keselamatan nyawa dan harta dengan tidak memandu dalam keadaan tidak sihat.

“Segenap lapisan masyarakat terutama golongan terdekat perlu memainkan peranan dalam membantu meningkatkan keselamatan di jalan raya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas syor syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu seperti dicadangkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Pada masa sama, Khairil Anwar, berkata pelesenan pemandu adalah satu bentuk pentauliahan bersyarat yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada seseorang individu setelah lulus penilaian kompetensi tertentu.

Katanya, asas utama pentauliahan ini ialah keupayaan untuk memandu dengan selamat di jalan raya. Keupayaan memandu adalah aspek umum keselamatan jalan raya, bukan sahaja membabitkan pemandu berusia, malah turut membabitkan golongan muda.

“Walau bagaimanapun faktor usia memainkan peranan penting dalam konteks pemandu berusia.

“Isu status pelesenan pemandu berusia adalah isu yang perlu dilihat secara holistik merangkumi semua aspek termasuk keperluan mobiliti golongan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, sebagai negara yang sedang menuju kepada penuaan, sebarang perubahan dasar perlu dilaksanakan secara bersistematik, berpandangan jauh dan berasaskan bukti kajian dan data untuk menjamin kelestarian langkah penyelesaian dan untuk mengelak berlakunya permasalahan lain.

Katanya, antara keperluan utama ialah untuk melihat impak perubahan dasar kepada keperluan mobiliti golongan warga emas dalam kerangka sosio ekonomi dan kesihatan termasuk keperluan berkerja dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Isu keselamatan jalan raya berkait pemandu yang berusia adalah isu yang dihadapi oleh kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Secara umumnya penarikan lesen atau mengehadkan tempoh sah lesen adalah jalan terakhir yang diambil selepas pertimbangan tertentu dilaksanakan termasuk pembuktian keupayaan memandu dilakukan secara telus dan dengan menggunakan kaedah ujian yang diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata, pembuktian keupayaan memandu menuntut kepada keperluan kaedah pengujian khas dan disahkan melalui kajian saintifik dan pengumpulan data sebenar.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *