mysejahtera

Ramai lupa ‘check out’ MySejahtera, apa tindakan KKM?

MUNGKIN ramai dalam kalangan kita yang terlupa untuk mendaftar keluar dari sesebuah premis yang dikunjungi dalam aplikasi MySejahtera.

Ciri terbaharu dalam apolikasi MySejahtera itu memerlukan para pengguna menekan sendiri butang daftar keluar atau ‘check out’ sebaik sahaja keluar dari premis berkenaan.

Bagi pengguna MySejahtera yang selalu berurusan di luar rumah mungkin tidak berdepan masalah untuk daftar keluar kerana mereka perlu menekan butang ‘check out’ sebelum mendaftar masuk ke premis lain.

Masalah dihadapi bagi mereka yang hanya keluar rumah apabila ada urusan penting sahaja sehingga ada yang tidak mendaftar keluar dari premis yang dikunjungi sebelum itu sehingga berhari-hari lamanya.

Malah, ada yang membuat lawak dalam media sosial menyatakan ‘mereka tidur di dalam kedai selama tiga hari’.

Isu tersebut juga dikhuatiri boleh menjejaskan data Kementerian Kesihatan terutamanya dari segi pengesanan kontak rapat apabila sesebuah premis dikunjungi oleh individu yang didapati positif COVID-19.

Mereka yang terlupa mendaftar keluar mungkin perlu dipanggil untuk ujian saringan sekiranya kes COVID-19 dikesan sepanjang tempoh mereka ‘berada’ di premis terbabit.

Sehubungan itu, orang ramai mencadangkan agar pengendali MySejahtera memperkenalkan ciri baharu iaitu bunyi peringatan secara berulang apabila pengguna tidak mendaftar keluar dari sesebuah premis melebihi 30 minit.

Cadangan itu disambut baik oleh Kementerian Kesihatan dan akan dipanjangkan kepada pengendali MySejahtera.

Memetik laporan BH, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya menerima aduan daripada ramai pengguna berhubung isu tersebut.

“Memang diakui butang ‘check out’ diwujudkan pihak MySejahtera agak membebankan ramai pengguna kerana terlupa.

“Sebenarnya pengguna tidak perlu bimbang kerana jika pengguna terlupa mendaftar keluar dan daftar masuk di tempat lain, pendaftaran di tempat awal tadi terbatal dengan sendiri.

“Namun begitu, cadangan netizen meminta pihak MySejahtera mengaktifkan bunyi peringatan, satu idea yang baik dan bernas,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir di Bagan Serai, hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *