KEDEGILAN golongan yang menolak vaksin atau antivaksin sememangnya memeningkan kepala semua pihak termasuk pengamal perubatan di negara ini.
Bermacam-macam alasan digunakan mereka bagi mewajarkan pendirian mereka yang tidak masuk akal itu.
Ada yang mendakwa vaksin adalah satu konspirasi global dan tidak kurang pula yang mengemukakan hujah-hujah berunsur keagamaan.
Malangnya, sikap keras kepala golongan antivaksin menimbulkan masalah kepada pengamal perubatan apabila mereka atau ahli-ahli keluarga dijangkiti COVID-19.
Seperti yang didedahkan oleh seorang pakar bius, Dr Hana Hadzrami baru-baru ini, hampir kesemua pesakit yang dimasukkan dalam wad unit rawatan rapi (ICU) di hospital di mana beliau bekerja adalah golongan antivaksin.
Ikuti luahan beliau seperti yang ditulis dalam hantaran Facebook miliknya:
“Dalam ICU Covid kami hari ini; kesemua pesakit adalah penolak vaksin atau ahli keluarga mereka. Kecuali seorang pesakit yang hanya sempat menerima 1 dos vaksin.
“Hanya dia saja yang tak perlukan bantuan mesin pernafasan. Baik sangat orangnya. Ikut kata dan selalu ucap terima kasih pada kami.
“Yang lain, malas nak cerita. Perlu kesabaran yang tinggi untuk menguruskan mereka dan ahli keluarga mereka.
“Majoriti pesakit tolak vaksin dengan alasan ‘own preference’ atau pilihan sendiri.
“Kami tiada masalah dengan orang yang ada pilihan sendiri. Jika melibatkan warna pakaian kegemaran. Atau pilihan jenis kenderaan. Atau pilihan makanan. Sukahati lah nak pilih apa pun. Asal tak menganggu sesiapa.
“Ini ibarat orang yang pilih nak terjun lombong berbanding mandi di rumah. Masalahnya dia tak reti berenang dan tak mahu guna pelampung. Tapi dia demand semua orang standby untuk selamatkan dia jikalau dia lemas.
“Begitulah ibaratnya.
“Jadi, bila agaknya servis hospital boleh diberikan kepada kes bukan Covid, jika masih ramai nak memperjuangkan ‘pilihan sendiri’ tolak vaksin dan kemudiannya memenuhkan hospital?
“Tuhan pun hanya tolong mereka yang nak bantu diri sendiri.”
Semoga golongan antivaksin sedar dan insaf bahawa sikap degil mereka itu hanya menyusahkan orang lain terutamanya petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan yang berhempas pulas memerangi pandemik COVID-19 sejak dari mula lagi hingga sekarang.
Leave a Reply