Oleh ABU UBADIILLAH RAHMAN
SULTAN Johor bertitah, kerajaan perlu menyegerakan semakan semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membangkitkan isu berkenaan ketika menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Baginda bertitah, Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing selain negeri ini juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.
“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah Sultan Johor, hari ini.
Pertemuan itu berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Baginda turut membincangkan pelbagai perkara lain berkaitan kemajuan Johor dalam pertemuan bersama Perdana Menteri.
Ini merupakan kunjungan rasmi pertama Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada 21 Ogos lalu.
Leave a Reply