SEBANYAK 10,000 kilogram kulit kayu tangar dipercayai dicuri dari Hutan Simpan Kuala Sungai Paitan, Sungai Sugut, Beluran ditemukan pada sebuah bot yang ditinggalkan dipercayai dari Filipina, semalam.
Bot itu ditemukan semasa operasi Op Khazanah Bersepadu kira-kira pukul 2 petang yang dilaksanakan oleh pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semasa rondaan pasukan operasi, mereka menemui sebuah bot berserta enjin yang tidak berdaftar dipercayai digunakan penceroboh.
Menurutnya, pasukan itu kemudiannya melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar dan tidak menemui mana-mana individu atau kesalahan lain di lokasi.
“Rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Rani berkata, semua kayu yang dirampas dianggarkan bernilai RM350,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
Ujarnya, bot yang digunakan pula dianggarkan bernilai RM80,000 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM450,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Enakmen Perhutanan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969. Jabatan Perhutanan kemudiannya melupuskan dengan membakar semua kulit kayu berkenaan termasuk bot ,” katanya.
Leave a Reply