PTPTN

23,487 pelajar terima wang pendahuluan pinjaman PTPTN

Oleh RIZQI ZABIDI

SERAMAI 23,487 pelajar yang akan menyambung pengajian di universiti awam bagi peringkat ijazah sarjana muda untuk sesi kemasukan Oktober 2021, ditawarkan wang pendahuluan pinjaman (WPP) PTPTN berjumlah RM1,500 setiap seorang.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian wang pendahuluan itu bagi membantu para pelajar dan keluarga mereka membuat persiapan awal sebelum menjejakkan kaki ke menara gading.

Katanya, sebanyak RM35 juta diperuntukkan bagi tujuan itu, kali ini.

“Ketika mengisi borang permohonan UPUOnline sebelum ini, ada ruang yang perlu diisi untuk mereka memohon WPP ini.

“Secara umumnya, permohonan mereka itu akan diluluskan sekiranya para pelajar tersebut datang dari keluarga penerima bantuan sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat kelulusan tersebut kepada tiga penerima di daerah Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

Salah seorang pelajar yang menerima WPP yang disampaikan sendiri oleh Wan Saiful Wan Jan di sekitar Kubang Pasu, Kedah, hari ini,

Beliau menambah, para pemohon hanya perlu menyemak kelulusan itu dengan memasukkan nombor Mykad masing-masing ke dalam ruangan disediakan di laman web rasmi PTPTN.

“Sekiranya lulus, mereka akan diberikan waran yang perlu dicetak dan membawanya ke mana-mana cawangan Bank Islam bagi mendapatkan wang tunai.

“Bermula hari ini, mereka diberi tempoh selama dua bulan untuk berbuat demikian,” katanya.

Pemohon WPP hanya perlu menyemak status kelulusan dengan memasukkan nombor Mykad masing-masing ke dalam ruangan disediakan di laman web rasmi PTPTN.

Sementara itu beliau memaklumkan, sebanyak 942,025 pelajar telah menerima manfaat WPP sejak ia diperkenalkan pada 1999.

“Keseluruhan peruntukan untuk tempoh itu adalah RM1.39 bilion,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *