SOP masjid, surau ditambah baik- Ahmad Marzuk

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

KERAJAAN sentiasa berusaha menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan pandemik Covid-19 membabitkan aktiviti ibadah di surau dan masjid di seluruh negara.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, beberapa kaedah seperti muzakarah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) sentiasa diadakan.

Beliau berkata, kaedah muzakarah yang turut melibatkan mufti dan pihak berkuasa agama negeri diadakan paling kurang setiap dua bulan untuk membincangkan isu berkaitan agama Islam termasuk mengenai solat dan sebagainya.

“Apa sahaja SOP baharu, kita akan sentiasa kemas kini berdasarkan situasi semasa, namun tidak banyak perubahan dalam SOP jika jangkitan Covid-19 masih tinggi,” katanya kepada media selepas Program Inspirasi Qaseh Kami: Food Bank YaPEIM 3.0 di pekarangan Stesen Teksi, chukai Kemaman, hari ini.

Beliau memberitahu demikian ketika ditanya kebenaran melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid dan surau di Pahang kepada semua jemaah termasuk individu yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi kenyataan semalam memaklumkan SOP itu berkuat kuasa Rabu lepas, dengan bilangan jemaah mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau dengan mengamalkan penjarakan fizikal, kecuali di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Ahmad Marzuk, langkah dilaksanakan di Pahang adalah terpulang kepada pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, kalau mengikut SOP di Wilayah Persekutuan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kebenaran solat mesti melengkapkan vaksin, namun ia terpulang kepada negeri lain.

Mengenai isu gangguan seksual yang dikaitkan dengan seorang pendakwah terkenal, Ahmad Marzuk memberitahu, tiada sesiapa pun termasuk golongan agamawan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya individu tersebut terbukti melakukan kesalahan.

Namun katanya, masyarakat seharusnya bertenang dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan tanpa membuat sebarang spekulasi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *