SEMUA penerima Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram Keluarga Malaysia akan diberikan pengecualian bayaran sehingga enam bulan bermula daripada tarikh menerima kunci.
Kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pengecualian bayaran sewa ini akan ditanggung kerajaan dengan melibatkan peruntukan kira-kira RM3 juta.
‘’Ini bagi membolehkan penerima manfaat khususnya ketua isi rumah dapat menumpukan usaha untuk merancakkan ekonomi keluarga,’’ katanya.
Perkara itu merupakan antara tiga pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri di Majlis Pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia, hari ini.
Beliau juga mengumumkan penambahan sebanyak 1,000 unit lagi rumah tersebut menjadikan kesemuanya 2,000 yang akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 10,000 isi rumah yang memerlukan.
‘’Saya memahami bahawa 1,000 unit rumah di 11 kawasan PPR yang berada di bawah selia dan pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mencukupi untuk menjadi tempaty berlindung bagi Keluarga Malaysia yang terkesan akibat hilang mata pencarian. Ini kerana 139 perojek PPR lain telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri,’’ katanya.
Perdana Menteri juga mengumumkan program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT akan diteruskan sehingga akhir tahun 2022.
‘’Langkah ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 ketua isi rumah atau 50,000 penghuni PPR dengan melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta,’’ katanya.
Ismail Sabri berkata, agenda perumahan akan terus menjadi fokus jutama kerajaan, khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.
‘’Program-progran kediaman mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) akan terus diperkasakan dan ditambah baik agar setiap Keluarga Malaysia ada tempat untuk berteduh,’’ katanya.
Beliau memberitahu, selaras dengan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan membantu golongan rentan serta golongan belia dan anak muda untuk memiliki kediaman yang selesa serta berkualiti, sejajar dengan agenda Liveabli Malaysia atau Malaysia Yang Berdaya Huni.
‘’Oleh itu, langkah dan pendekatan yang diperkenalkan oleh KPKT melalui Rumah Ikram Keluarga Malaysia merupakan satu inisiatif yang tepat pada masanya dan merupakan langkah penampan yang boleh kerajaan berikan kepada rakyat yang memerlukan.
‘’Rumah Ikram Keluarga Malaysia ini menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan atau mungkin juga kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa rumah yang tinggi. Begitu juga ada yang terdesak menumpang di rumah saudara- mara kerana terpaksa keluar dari rumah sewa,’’ katanya.
Leave a Reply