Oleh RAHIMI MOHAMAD
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengiktirafan sijil vaksinasi secara bersama-sama antara negara ini dengan Singapura kelak akan memudahkan urusan rentas sempadan antara kedua-dua negara bagi pelbagai tujuan terutamanya soal pekerjaaan.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, perbincangan ke arah tersebut akan diadakan antara Malaysia dan Singapura yang memiliki hubungan rapat dalam melaksanakan urusan seharian.
Kata Muhyiddin, pembukaan sempadan antara Malaysia dan negara republik itu juga berupaya mengukuhkan kestabilan ekonomi ekoran aktiviti eksport dan import yang banyak membabitkan kedua-dua pihak.
“Antara perkara yang akan kita perhalusi bila dianggap sesuai dan Singapura bersetuju (setelah) vaksinasi sudah sampai ke peringkat lengkap, sijil kita dan sijil Singapura diiktiraf bersama-sama.
“Ini akan membolehkan pergerakan antara kedua-dua negara dan sempadan lain pun akan dibuka. Semua itu akan diambil kira. Tetapi pastinya bila sampai situasi vaksinasi sudah meningkat, negara sudah menjadi lebih selamat, maka sempadan-sempadan berkenaan akan mula dibuka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum itu mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sebelum ini juga ada berhubung dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara berkenaan yang turut dipersetujui Hsien Loong.
Namun, langkah tersebut memerlukan penelitian khusus membabitkan soal keselamatan dan kesihatan.
“Kita akan teliti daripada data dan sains serta pandangan daripada pakar-pakar termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan serta termasuk juga soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Dengan keadaan Covid-19 dan vaksinasi di Malaysia dan Singapura yang masih belum selesai mungkin beliau (Hsien Loong) agak berhati-hati,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, perbincangan mengenai sempadan sering diutamakan dalam mana-mana mesyuarat termasuk ketika beliau menjadi Perdana Menteri yang bukan sahaja perlu dibuka kepada pelancong luar tetapi rakyat negara ini yang mahu ke negara lain.
“(Tetapi) Soal rentas daerah dan negeri pun masih belum dibuka, apatah lagi rentas antarabangsa untuk orang nak keluar negara lain atau pun orang asing yang mahu datang ke Malaysia,” katanya.
Leave a Reply