Pelancong terjejas Covid-19 boleh tunda tarikh tempahan hotel

Oleh RIZQI ZABIDI

KALANGAN pelancong yang terpaksa menunda perjalanan ke Langkawi akibat menjadi kontak rapat atau disahkan positif Covid-19 sebelum berlepas ke destinasi pelancongan popular itu, boleh menunda tarikh penginapan di hotel-hotel mereka ke satu tarikh yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan kalangan pelancong tersebut tidak berdepan kesulitan untuk tetap berkunjung ke Langkawi setelah mereka bebas daripada Covid-19.

Malah katanya, setakat ini sudah terdapat persetujuan lisan dengan pihak berkaitan untuk turut membenarkan mereka yang sudah pun membeli tiket penerbangan menikmati kemudahan serupa.

“Pelancong yang terpaksa menangguhkan perjalan kerana arahan kerajaan, boleh menunda tarikh dan jika berlaku peningkatan harga pada kadar sewa hotel kerana tempoh promosi sudah tamat, mereka hanya perlu membayar bakinya saja.

“Sebagai contoh jika mereka sudah membayar RM100 untuk satu bilik pada masa ini tetapi dalam masa dua minggu lagi harganya meningkat ke RM170, maka mereka cuma perlu bayar tambahan RM70 saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Terminal Feri Kuala Kedah bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Azman Nasrudin bagi memantau pelaksanaan program gelembung pelancongan ke Langkawi hari ini.

Mengulas lanjut Mohd. Firdaus berkata, setakat 22 September lalu seramai 12,607 pelancong didapati telah berkunjung ke Langkawi sejak sektor pelancongan kembali dibuka di pulau legenda itu pada 16 September 2021.

“Kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat terutamanya pada November dan Disember, bersandarkan kepada trend sebelum ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai yang hendak ke Langkawi agar menjalani ujian pengesanan Covid-19 lebih awal, sebelum datang ke lapangan terbang atau jeti bagi membuat perjalanan ke Langkawi.

“Dengan cara itu jika mereka didapati positif, setidak-tidaknya ia mengurangkan risiko untuk orang lain dijangkiti.

“Selain itu saya juga memohon Kementerian Kesihatan dapat membuat pembaharuan terhadap aplikasi MySejahtera supaya mereka yang bertatus kontak rapat dihalang daripada mendaftar masuk di mana-mana lokasi. Mungkin sesuatu dapat dilakukan bagi memastikan aplikasi tersebut tidak mendaftar masuk untuk golongan berkenaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *