PERASAAN curiga seorang rakan apabila panggilan telefon dibuatnya tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang guru di rumahnya yang dipercayai sudah meninggal dunia hampir seminggu.
Kematian guru berusia 52 tahun itu di Kampung Bechah Resak, Chabang Empat, Tumpat disedari rakannya yang pergi ke rumah mangsa tengah hari semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, rakan mangsa ke rumahnya pada pukul 12.50 tengah hari semalam untuk bertanyakan mengenai status vaksinasi Covid-19.
Menurutnya, ini selepas cubaan rakannya menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon tidak berjawab dan dia mengambil keputusan datang ke rumah guru berkenaan.
“Namun rakannya itu terhidu bau busuk dan cuba membuka pintu untuk masuk sebelum ternampak mangsa yang sudah meninggal dunia terbaring di dalam bilik,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Razi berkata, pihak berkuasa yang dimaklumkan akan kejadian itu kemudiannya membuat ujian Covid-19 terhadap mangsa dan hasilnya negatif.
Ujar beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.
Katanya, mengikut maklumat awal, mangsa tidak menghidap sebarang penyakit dan tiada rekod kesihatan diperoleh.
“Kami juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” tambahnya.
Leave a Reply