COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

SINGAPURA melaporkan sejumlah 1,504 kes baharu COVID-19 pada Khamis (23 September), tertinggi sejak virus itu dikesan tahun lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, daripada jumlah tersebut, 1,218 kes adalah jangkitan tempatan, 273 di asrama pekerja migran, dan 13 kes import.

Dalam kemas kini data hariannya, kementerian memaklumkan 1,120 pesakit dirawat di hospital dengan 163 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 23 kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Republik itu juga melaporkan dua kematian melibatkan wanita warga emas Singapura yang belum divaksin, menjadikan jumlah kematian akibat komplikasi jangkitan COVID-19 bertambah kepada 70 orang.

Sepanjang 28 hari lalu, menurut kementerian daripada 15,791 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di ICU, dan 0.1 peratus meninggal dunia.

Sehingga tengah hari Khamis, jumlah keseluruhan kes adalah 82,860 dengan 10,379 kes aktif.

Sebanyak 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 setakat 22 September, dengan 84 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *