HOSPITAL Medan yang dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan letak kenderaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown dijangka menerima pesakit Covid-19 pertama pukul 9 malam esok.
Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Dr. Zamri Derahman berkata, ketika ini pasukan jurutera sedang melakukan penilaian akhir sebelum Hospital Medan itu dapat beroperasi sepenuhnya.
Bagaimanapun jelas beliau, HPP perlu menjalankan operasi pembersihan penuh di hospital itu terlebih dahulu sebelum boleh menerima pesakit untuk dirawat.
“Ketika ini dari segi persediaan infrastruktur hospital medan itu sudah mencapai 90 peratus.
“Pagi esok pasukan jurutera akan melakukan penilaian akhir yang mana jika dipenuhi, maka hospital ini sedia menerima pesakit,” katanya selepas sesi ujian penuh dan latihan keselamatan kebakaran di Hospital Medan terbabit hari ini.
ATM memulakan pembinaan hospital itu pada 16 September lalu dengan 23 khemah didirikan di atas kawasan seluas 2,300 meter persegi yang bakal menempatkan 96 katil biasa dan empat katil unit rawatan rapi (ICU).
Pembinaan itu susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 11 September lalu yang menyatakan sebuah hospital medan akan dibina di hospital awam berkenaan bagi menampung lebih ramai pesakit Covid-19 di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Dr. Zamri berkata, ATM akan menugaskan seramai dua pegawai dan 22 anggota di Hospital Medan terbabit bagi membantu kelancaran operasinya.
Jelasnya, mereka akan membantu seramai lima pakar, 54 pegawai perubatan dan 250 kakitangan sokongan serta jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan bertugas di hospital tersebut.
Leave a Reply