Oleh RIZQI ZABIDI
PEMBUKAAN sektor pelancongan di Langkawi sejak 16 September lalu tidak membawa sebarang kes positif Covid-19 melibatkan pelancong destinasi pelancongan popular itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, keadaan itu membuktikan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan dalam projek rintis gelembung pelancongan tersebut.
“Kes-kes Covid-19 di Langkawi ketika ini semuanya melibatkan penduduk pulau tersebut dan bukannya membabitkan mereka yang datang untuk melancong.
“Itu bermakna SOP yang dilaksanakan berkesan malah ujian saringan yang dijalankan di lokasi sebelum pelancong berlepas ke Langkawi juga berjaya mengelakkan mereka yang positif Covid-19 daripada memasuki Langkawi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam) mengenai kesan pelaksanaan SOP kepada pelancong dalam sektor pelancongan di Langkawi dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mohd. Firdaus menambah, kementerian pelancongan mengunjurkan seramai 200,000 pelancong akan memasuki Langkawi menjelang penghujung tahun ini.
“Melihat kepada perkembangan positif di Langkawi, Kementerian Pelancongan telah mengumumkan pembukaan sektor pelancongan di destinasi lain pada 1 Oktober ini dengan Langkawi dijadikan sebagai contoh,” katanya.
Sementara itu katanya, pembukaan Jeti Kuala Kedah bermula esok dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan di Langkawi selain mendatangkan manfaat kepada penduduk setempat.
“Sebelum ini kita memang mengalami sedikit ‘kerugian’ kerana para pelancong yang menaiki feri ke Langkawi terpaksa dilencongkan ke Kuala Perlis memandangkan Jeti Kuala Kedah ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Insya Allah esok jeti itu akan kembali dibuka. Maka kita akan turut melihat rakyat di Kuala Kedah mendapat nikmat daripada pembukaan Langkawi,” katanya.
Leave a Reply