Taman Tamadun Islam kembali beroperasi hari ini

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

TAMAN Tamadun Islam (TTI) Terengganu yang merupakan salah satu lokasi pelancongan popular di negeri itu, kembali beroperasi, mulai hari ini.

TTI yang juga dikenali sebagai Taman Monumen dengan pelbagai tarikan termasuk Masjid Kristal sebelum ini ditutup selama empat bulan ekoran pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman, operasi yang dibuka kepada umum melibatkan Taman Monumen, river cruise dan restoran B’beteng dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Justeru katanya, sempena pembukaan ini, TTI mengadakan Promo Lengkap Vaksin kepada para pengunjung dengan tawaran harga tiket RM10 bagi kanak-kanak dan warga emas serta RM15 untuk dewasa.

Beliau memberitahu demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan operasi TTI hari ini.

Menurut Ariffin, pengoperasian semula taman tema berbentuk pendidikan yang terletak di Kampung Losong itu selaras dengan peralihan Terengganu ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat lepas.

Ariffin memberitahu, kerajaan negeri memerlukan kos sebanyak RM10 juta bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan mengindahkan semula Taman Monumen yang sebahagiannya sudah lusuh.

Ujarnya, kerja membaik pulih itu memerlukan kos besar dan ia dijangka mengambil masa sehingga dua tahun.

“Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti untuk menghantar pelajar mereka khususnya dalam bidang seni bina menjalankan kerja lapangan dan tanggungjawab sosial korporat di Taman Monumen ini,” ujar beliau.

Ariffin berkata, dua lagi monumen baharu akan dibina sebagai tambahan kepada 21 monumen sedia ada di Taman Monumen bagi menarik lebih ramai pelancong ke TTI.

“Ia masih diperingkat perbincangan dan kita tidak dapat umumkan secara terperinci lagi buat masa ini, cuma apa boleh saya katakan, ia melibatkan bangunan bersejarah dari Timur Tengah dan negara China,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *