SEPASANG suami isteri warga Indonesia ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tembak pada badan mereka dalam satu kejadian di Kampung Beraya Bekenu, Miri, Sarawak pagi ini.
Jasad pasangan itu, masing-masing berusia 60 tahun dan 40 tahun ditemukan adik lelaki mangsa dalam bilik tidur rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari mengesahkan kejadian itu.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri dan anggota dari Balai Polis Bekenu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kes itu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan bagaimana kejadian berlaku,” katanya kepada BH, hari ini.
Hakemal berkata, mayat pasangan berkenaan dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.
Difahamkan, mayat pasangan itu ditemui adik lelaki mangsa, selepas terdengar anak mereka menangis.
Adik mangsa yang curiga kemudian pergi ke rumah mangsa, namun pintu berkunci dan cubaannya memanggil mereka juga tidak dibalas.
Dia yang kemudiannya cuba meninjau melalui cermin tingkap bilik pasangan itu terkejut apabila melihat kedua-duanya berlumuran darah.
Selaras senapang patah juga dijumpai di atas dada mangsa lelaki.
Leave a Reply