SERAMAI 1,000 orang jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam manakala 500 jemaah lagi untuk masjid lain di Selangor semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
Ketetapan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi satu edaran itu berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kemudian.
Menurut JAIS, had jemaah baharu itu termasuk pentadbir masjid dibuat selepas mengambil kira penurunan kes Covid-19 yang konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap, kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang signifikan.
Katanya, untuk Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi, masing-masing ditetapkan seramai 500 jemaah bagi solat Jumaat serta 300 jemaah untuk solat lima waktu.
Selain itu katanya, bagi masjid pengurusan pula, adalah ditetapkan seramai 400 jemaah bagi solat Jumaat dan 300 jemaah solat lima waktu, manakala 350 jemaah untuk masjid kariah bersolat Jumaat dan 200 jemaah dihadkan bagi solat lima waktu.
“Surau kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah dibenar untuk solat Jumaat, manakala 200 jemaah untuk solat lima waktu, sementara surau kariah dan musolla pula dibolehkan 100 jemaah bagi solat lima waktu,” kata edaran itu hari ini.
Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.
Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.
“Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/surau boleh dipertimbangkan,” kata edaran itu lagi.
Selain itu dimaklumkan, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.
Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan.
Leave a Reply