’Saya tak kan berlakon, tetap jadi diri sendiri’’ – MB Kedah

by

in

Oleh RIZQI ZABIDI

‘’KALAU orang lain nak jadikan perkara itu serius, terpulang pada mereka. Saya takkan bekerja dalam keadaan berlakon dan akan terus menjadi diri sendiri.’

Itulah yang ditegaskan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md.Nor bagi membalas desakan pembangkang yang mahu beliau mengubah perwatakan diri beliau.

Beliau sebaliknya mempersoalkan tindakan mereka yang membangkitkan isu tersebut ketika sidang Dewan Undangan Negeri memandangkan ia sepatutnya menjadi tempat bagi membincangkan perkara  berkaitan rakyat dan negeri.

“Dalam sidang akhbar, saya selalu sebut nama wartawan tetapi itu pun ada orang lain yang merungut dan mengatakan tak payahlah sebut nama ketika sidang akhbar. Semua orang nak aturkan saya jadi macam mana tetapi saya tetap akan jadi diri sendiri dan mereka boleh jadi diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Alor Setar, hari ini.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang antaranya Datuk Johari Abdul serta Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta ADUN Kulim, Yeo Keng Chuan sejak semalam menegur Muhammad Sanusi agar lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan.

Hari ini ADUN Pengkalan Kundur, Datuk Dr. Ismail Salleh yang juga bekas Exco Kesihatan negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, turut membangkitkan perkara sama dengan mengungkit gurauan Muhammad Sanusi dalam isu kontena jenazah beberapa bulan lalu.

Muhammad Sanusi menambah, gurauan dilakukannya dianggap sebagai terapi bagi menghadapi tekanan kerja selain mengeratkan hubungan dengan mereka di sekelilingnya.

“Nak suruh saya cakap bahasa muluk-muluk atau bangsawan, saya tak reti. Jadi saya cakap bahasa saya sajalah.

“Kalau benda macam itu pun nak bawa masuk Sidang DUN, saya rasa tak patutlah kerana prestasi dan pencapaian sepatutnya dinilai daripada hasil pentadbiran termasuk dari segi produktivitinya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *