SAR guna helikopter JBPM kesan nelayan hilang

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

ANGGOTA pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang nelayan yang dilaporkan hilang di muara Kuala Dungun sejak petang semalam dengan menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Tinjauan udara digunakan bagi mengesan mangsa, Mohd Noor Mamat, 67, selepas bot gentian kaca dinaikinya dipukul ombak ketika memasuki muara Kuala Dungun, pada pukul 1.55 tengah hari semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, operasi memasuki hari kedua membabitkan 50 anggota polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa turut diperluaskan ke perairan Marang dan Paka.

Sementara itu, tekong bot, Mahadi Ibrahim, 56, memberitahu, ketika kejadian dia bersama mangsa dan seorang lagi awak-awak, Mohamad Ibrahim, 63, dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

“Kami bertiga keluar menangkap ikan sejak pagi semalam dan ketika pulang dan memasuki muara Kuala Dungun, bot kami dipukul ombak besar menyebabkan hampir karam.

“Mangsa (Mohd Noor) ketika itu duduk di atas sebuah tong menyimpan ikan dan Mohamad tercampak ke dalam laut,” katanya di jeti Kuala Dungun, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, dalam suasana kelam-kabut, dia menimba air yang memasuki ke dalam bot sebelum kembali menghidupkan enjin dan bergegas ke lokasi kedua-dua mangsa terjatuh.

Ujarnya, dia sempat menarik tangan Mohamad dan menyelamatkannya, manakala mangsa pula ketika itu terus dipukul ombak dan hilang dari pandangan.

“Selepas puas mencari mangsa, saya meminta bantuan rakan nelayan lain supaya melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Mohamad pula memberitahu, selepas terjatuh ke dalam laut, dia bersama mangsa berenang untuk menyelamatkan diri.

“Memandangkan, keadaan ombak dan arus terlalu kuat, mangsa semakin jauh dan saya menjerit meminta dia supaya tidak putus mengucap.

“Selama hampir 15 minit di dalam air, kedua-dua kaki saya mulai kejang dan kalau saya lambat diselamatkan tekong mungkin saya akan mengalami nasib sama dengan mangsa,” ceritanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *