PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion ke-7 berjaya merampas sebanyak 2,000 kilogram (kg) karkas babi hutan dianggarkan bernilai RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand berdekatan Kampung Degong, Lubok Setol, dekat sini malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, sebuah van jenis Econovan dilihat dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota PGA Batalion ke-7 yang sedang menjalankan rondaan bertindak mengekorinya.
“Sebaik van itu berjaya diberhentikan di hadapan sebuah rumah dan pemeriksaan dilakukan didapati terdapat timbunan karkas babi hutan disyaki cuba diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu van yang juga seorang lelaki berketurunan Siam ditahan setelah gagal menunjukkan sebarang dokumen mengenai barangan yang dibawanya.
Menurut Azhari kesemua barangan termasuk kenderaan telah disita dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Setol. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sekitar RM58,000.
Barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidup Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), katanya.
Dalam perkembangan lain, Azhari berkata pihaknya juga menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang disyaki menjadi ‘tentera semut’ dalam kegiatan penyeludupan beras Siam di Kampung Periuk dekat Tumpat, malam tadi.
Beliau berkata dalam kejadian itu pasukannya telah terserempak dengan sebuah Proton Iswara berdekatan Kampung Kajang Sebidang sebelum pemandunya memecut ke arah Cabang Empat Tumpa namun keretanya telah terbabas ke dalam parit di tepi jalan sebelum suspek berjaya ditahan.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat beras di dalam kereta disyaki diseludup dari Thailand ke Malaysia dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,000 dan barang rampasan diserahkan kepada pihak berkaitan.
Kesemua barangan rampasan dibawa balik ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, katanya.- BERNAMA
Leave a Reply