Pekembar UMNO 1946 gabungan Amanah Kelantan

Pekembar-UMNO 1946 sahut seruan Ku Li, tebus maruah Melayu

JAWATANKUASA Penaja Pusat Pekembar-UMNO 1946 ditubuhkan susulan gagasan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk ‘menghidupkan semula’ UMNO asal.

Mereka terdiri daripada Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, Norali Nordin, Nor Halim Hashim, Amiron Ismail dan Abdul Muiz Jaafar Thani.

Semalam, Tengku Razaleigh membangkitkan tentang usaha menghidupkan UMNO asal ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat.

Kenyataan penuh Jawatankuasa Penaja Pusat Pekembar-UMNO 1946 adalah seperti beikut:

Kami, ahli-ahli Jawatankuasa Penaja Pusat UMNO 1946 telah sekian lama berusaha mengembalikan UMNO 1946, demi kepentingan rakyat khususnya bangsa Melayu di negara ini, bersyukur dan menyambut baik ucapan YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, di Dewan Rakyat pada 21 September 2021 berserta sidang media beliau yang diadakan pada petang yang sama.

Beliau sebenarnya menyahut panggilan dan seruan rakyat khususnya bangsa Melayu yang mengharapkan ciri-ciri perjuangan asal orang-orang Melayu berlandaskan sejarah dan semangat UMNO 1946 dikembalikan dan beri nafas baru dalam arus gerakan perjuangan Melayu di negara ini.

Kami akan menerus dan memperkuatkan Jentera pergerakan perjuangan mengembalikan UMNO 1946 yang telah kami usahakan di seluruh negara. YBM Tengku telah menyatakan dengan jelas bahawa dia mewakili rakyat sebagai pemimpin kanan “parti Parlimen” UMNO 1946.

Sebagai pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terpuji dan berpengalaman dalam urustadbir negara, pengisytiharan beliau sebagai pemimpin Parti Parlimen UMNO 1946, telah memberi nafas, kesegaran dan momentum baru kepada pergerakan rakyat dan bangsa Melayu.

Kami ingin mengambil kesempatan ini menyeru keseluruhan rakyat, khususnya pemuda dan pemudi berbangsa Melayu untuk bersama-sama menebus kembali integriti dan maruah Melayu yang telah dikhianati oleh ahli-ahli politik yang berkepentingan peribadi.

Kami juga ingin menyeru ahli-ahli asal yang masih setia dengan perjuangan UMNO 1946, agar berganding bahu untuk merealisasikan matlamat murni, demi Bangsa, Agama dan Negara.

Kami berharap, UMNO 1946 akan mendapat rahmat dan petunjuk untuk kita bersama-sama memperbaiki dan memperkukuhkan landasan perjuangan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia untuk memberi kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Kami sedia bekerjasama dengan semua rakyat khususnya bangsa Melayu, di seluruh pelusuk negara untuk mencapai matlamat kita semua.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *