Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menggunakan tiga pendekatan utama dalam mencerdaskan ekonomi negara susulan ancaman pandemik Covid-19.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antaranya termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan dijadikan sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.
Jelas beliau, ekonomi negara berada pada landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik susulan vaksinasi dalam kalangan dewasa telah mencecah 80 peratus.
Perkembangan tersesebut katanya, merupakan landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik.
“Kedua, kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus, serta mesra-perniagaan, atau business-friendly.
“Ini termasuklah usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata pendekatan ketiga adalah Malaysia akan terus mensasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju, berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
Ini katanya, akan turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang, dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial serta tadbir urus.
Leave a Reply