JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 2.7 tan makanan haiwan dari Thailand yang cuba dibawa masuk tanpa dokumen import sah semalam.
Rampasan produk membabitkan nilai kira-kira RM85,600 itu dilakukan dalam operasi dan pemeriksaan di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam, Butterworth pukul 4.30 petang.
Jabatan itu dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, produk tersebut disita untuk siasatan lanjut kerana didapati cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah seperti Permit Import.
“Kesemua barang dagangan adalah untuk dipasarkan di negara ini,” demikian menurut kenyataan itu.
Jabatan itu menjelaskan, perbuatan mengimport keluaran pertanian dan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Jika sabit kesalahan tambahnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Leave a Reply