KPM sediakan kit ujian kendiri di semua sekolah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyediakan kit ujian kendiri (test kit) di semua sekolah termasuk kit ujian berasaskan air liur di sekolah asrama penuh secara percuma apabila sesi persekolahan mula kembali dibuka nanti.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, usaha tersebut untuk mewujudkan gelembung selamat di sekolah.

“Kita akan menyediakan beberapa test kit di semua sekolah bagi membolehkan guru mengasingkan pelajar yang bergejala yang melakukan ujian berkenaan dengan segera.

“Kita siap siaga, mungkin pagi pelajar itu datang ke sekolah, dia okay, tapi berada di sekolah dia tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, pelajar di sekolah berarama penuh perlu menjalani tiga kali ujian saringan iaitu termasuk sebelum memasuki sekolah.

“Sekiranya sekolah asrama itu berada di Kuala Lumpur dan pelajar terbabit berada di Terengganu dan perlu menaiki bas. Kita akan kumpulkan kesemua pelajar di sebuah sekolah asrama di Terengganu dan berikan kit ujian kendiri dan sekiranya negatif mereka boleh menaiki bas datang asrama,” katanya lagi.

Sebelum ini KPM mengumumkan, pelajar perlu menjalani ujian saringan pertama Covid-19 sebelum memasuki asrama, diikuti ujian saringan kedua pada hari keenam berada di asrama dan ujian seterusnya pada hari ke-14.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *