SEBANYAK 87 kes melibatkan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ‘ah long’ dengan nilai kerugian kira-kira RM800,000 dilaporkan di Pulau Pinang antara Januari tahun ini hingga bulan ini.
Jumlah itu menunjukkan trend peningkatan berbanding tahun lalu yang mana sebanyak 91 kertas siasatan melibatkan kes along dibuka sepanjang tahun 2020.
Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menjangkakan kes melibatkan sindiket ‘ah long’ akan terus bertambah tahun ini sekiranya orang ramai tidak berhati-hati dan terus terperdaya.
Mengulas lanjut tambah beliau, setakat ini juga, polis telah menahan seramai 99 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan along itu termasuk tiga suspek semalam.
“Berbanding tahun lalu, kita menahan seramai 59 individu yang disyaki terlibat dengan ‘ah long’ dan kita mohon orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terjerat dengan sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis akan menggunakan teknologi dron dalam pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa khususnya di kawasan tumpuan ramai dan pusat pelacongan di Pulau Pinang.
Menurut beliau, sepanjang pemantauan pihaknya di lokasi tumpuan serta pusat pelancongan pantai pada 16 hingga 19 September lalu, polis berpuas hati dengan pematuhan daripada orang ramai.
“Kita pada mulanya menjangkakan orang ramai akan memenuhi pusat-pusat rekreasi dan lokasi pelancongan ini, namun pemantauan mendapati kehadiran pengunjung tidak terlalu ramai.
“Malah, jumlah kenderaan juga didapati menurun sehingga 28 peratus sepanjang tempoh terbabit” katanya.
Leave a Reply