Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KELAB Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat) menyangkal dakwaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. Dr. P. Ramasamy bahawa terdapat diskriminasi kaum dalam pengambilan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presiden Kerabat, Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar berkata, dakwaan Ramasamy bersifat provokasi malah lebih kepada gimik politik murahan selain menghina pengurusan tertinggi ATM.
“Provokasi ini mencerminkan nilai patrotik luput dari minda pimpinan DAP yang jelas terlalu perkauman dan sempit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Pada 19 September lalu Ramasamy mendakwa kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang bahawa tiada diskriminasi kaum dalam ATM adalah tidak benar selain menyatakan ATM menolak perkauman adalah satu jenaka.
Kata Ramasamy, Affendi sepatutnya jujur dengan mengatakan ATM merupakan kubu kuat bagi ketuanan Melayu di mana perlu dikuasai oleh orang Melayu pada pelbagai peringkat dan pangkat.
Mohd. Nazari berkata, dakwaan Ramasamy tidak benar dan seakan tidak melihat sejarah ATM sejak dahulu.
“Bermula Laksamana Tanabalasingam, sudah ratusan bukan Melayu yang menjawatan tinggi dalam ATM walaupun mereka golongan minoriti.
Keharmonian pelbagai bangsa dan budaya dalam ATM adalah cerminan yang luar biasa,” katanya.
Jelasnya, masalah yang timbul ketika ini adalah kehadiran bukan Melayu daripada keturunan India dan Cina dalam temuduga pengambilan ATM hanya sekitar lima hingga 10 peratus.
Menurut beliau, ini berbeza dengan kehadiran pemuda Melayu, Iban, Kadazan dan bumiputera lain dalam sesi temuduga berkenaan selain peluang bukan Melayu untuk naik pangkat juga sangat cerah dalam ATM.
Fakta melesit Ramasamy katanya, sangat menghina semagat perpaduan dalam kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan veteran yang dianggotai pelbagai lapisan kaum.
“Bekas Laksamana Denial Balagopal seorang keturunan India yang menceburkan diri dalam arena politik dan pernah menjadi Ahli Parlimen Port Dikson sebelum beliau memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Terdapat 146 persatuan ATM berdaftar termasuk daripada persatuan veteran India, Shikh dan Cina turut aktif dalam hal ehwal kebajikan setempat mencerminkan semangat setiakawan antara veteran ATM,” katanya.
Leave a Reply