Gempa bumi 5.9 magnitud cetus panik di Melbourne

SATU gempa bumi kuat yang jarang berlaku menggegarkan tenggara Australia pagi ini, menggoncang bangunan dan menjatuhkan tembok serta mengakibatkan penduduk yang panik berlari ke jalan raya di Melbourne.

Memetik agensi berita AFP, gempa bumi cetek yang melanda bandar kedua terbesar Australia itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan dan dapat dirasai sehingga ratusan kilometer.

Pemantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu dikesan pada kedalaman 10 km.

Serpihan bangunan terutama batu bata yang jatuh dari bangunan, berselerak di kawasan beli belah popular di Chapel Street, Melbourne.

Pemilik kafe Oppen, Zume Phim, 33, berkata beliau bergegas keluar sebaik sahaja gegaran bermula.

“Seluruh bangunan bergegar, semua tingkap dan kaca turut bergegar, bagaikan ada gelombang melanda.

“Saya tidak pernah merasai pengalaman seperti ini, agak menakutkan,” katanya.

Gempa bumi kuat jarang berlaku di kawasan padat penduduk di tenggara Australia

Kakitangan kafe di Melbourne, Parker Mayo, 30, pula memberitahu, gegaran agak kuat sehingga membuatkan orang ramai panik.

Batu bata dan serpihan simen memenuhi perkarangan Betty’s Burgers di Melbourne, dengan kepingan besi tergantung di bahagian bumbung luar restoran.

Pemilik restoran itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, tiada pelanggan berada di restoran ketika itu.

Dalam pada itu, pakar geologi di University of Melbourne, Mike Sandiford berkata, gempa hampir 6 magnitud itu adalah fenomena terbesar di tenggara Australia sejak kebelakangan ini.

“Kita ada mengalami gempa bumi kuat sekitar lewat 1800an tetapi kekuatan sebenar tidak dapat diukur pada masa itu.

“Gempa dengan kekuatan seperti ini hanya dijangka setiap 10 hingga 20 tahun di tenggara Australia, dengan yang terakhir pada 2012 di Thorpdale tetapi kali ini jauh lebih kuat,” katanya.

Sandiford memberitahu, ratusan gempa susulan juga dijangka berlaku namun kebanyakannya mungkin tidak akan disedari.

Tambahnya, bencana alam itu mungkin mengakibatkan kerugian berbilion jika pusat gempa terletak di bawah Melbourne.

Menurut Geosciences Australia, pihaknya mengesan gempa susulan berukuran 4.0 sejurus selepas gegaran pertama.

Sementara itu, Datuk Bandar Mansfield, Mark Holcombe, berkata tidak banyak kerosakan berlaku di pekan kecil yang menjadi lokasi pusat gempa bumi itu tetapi penduduk agak terkejut.

“Kami tidak pernah mengalami gempa bumi di kawasan ini, malah tiada seorang pun penduduk tempatan yang pernah merasai gempa bumi di sini sebelum ini,” katanya kepada stesen penyiaran ABC.

Perkhidmatan kecemasan berkata mereka menerima panggilan kecemasan dari Dubbo, kawasan sejauh 700 km dari pusat gempa.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, yang kini berada di New York, Amerika Syarikat, berkata tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

“Saya agak terkejut menerima berita gempa bumi kerana bencana alam seumpama ini jarang berlaku di Australia, malah boleh dikatakan amat jarang,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *